Saturday, 25 January 2014

Proton bersedia capai aspirasi NAP

JURU, JUMAAT, 24 Januari, 2014: Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, bersedia untuk ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai aspirasi Dasar Automotif Nasional (NAP) yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lukman Ibrahim berkata NAP yang disemak semula itu telah diterima dengan baik kerana ia bukan sahaja menyokong pengeluar tempatan tetapi juga bertujuan untuk menjadikan Malaysia hab bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

"Proton perlu bersiap sedia dengan persiapan dan rancangan untuk mencapai aspirasi NAP ini dan kami berada pada landasan yang betul," katanya kepada pemberita selepas melancarkan varian Satria Neo Standard 4AT dan Inspira Super Premium sempena karnival jualan Proton.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan NAP yang telah disemak semula dengan mengeluarkan syarat tertentu bagi lesen pengilang dalam usaha untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantau bagi pengeluaran EEV.

Mengenai varian Proton baharu berkenaan, Lukman berkata, kereta itu

disasarkan untuk profesional muda yang berumur antara 25 dan 35 tahun.

Beliau berkata, Proton melanjutkan model Satria Neo Standard 4AT kepada segmen pasaran lebih luas memandangkan ia pada harga yang mampu dimiliki dan nilai untuk wang. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment