Sunday, 2 February 2014

Empat beradik gembira pulang ke tanah air

SEPANG, SABTU, 01 Februari, 2014: Selepas hampir sebulan mengharungi situasi yang tidak menentu di Sweden, empat beradik yang merupakan anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal, gembira akhirnya dapat pulang ke Malaysia untuk dijaga oleh saudara-mara mereka di sini.

Kesemua mereka yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Stockholm, pada pukul 7.04 pagi ini diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pegawai kementerian tersebut dan seorang saudara keluarga itu.

Anak sulung pasangan itu, Aishah Azizul Raheem, 14, ketika ditemui mengakui gembira dapat pulang ke tanah air bersama adik-adiknya.

Malah, dia dan adik-adiknya yang lain juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya dan meminta izin untuk mengikut pegawai dari Kementerian Luar ke Taman Duta bagi menemui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya.

"Kami semua okey dan sangat gembira dapat pulang ke sini," katanya.

Semalam, Aishah bersama adik-adiknya iaitu Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, berjaya mendapat kebenaran khas pulang ke Malaysia untuk dijaga oleh keluarga di sini berdasarkan prinsip kepentingan terbaik untuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, Hamzah ketika ditemui enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, mereka semua selamat tiba pukul 7 pagi dan akan terus menuju ke Taman Duta.

Sebelum ini, Azizul Raheem yang juga pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati, seorang guru sekolah menengah didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka kerana tidak menunaikan solat.

Berikutan itu, pasangan tersebut ditahan pihak berkuasa Sweden di kediaman mereka pada 14 Disember tahun lalu dan ditahan reman sejak tarikh itu hingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anaknya.

Lanjutan tahanan reman tersebut merupakan yang ketiga buat pasangan tersebut sejak direman pada 18 Disember lalu dan difahamkan tiada had penahanan reman di negara itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment