Sunday, 2 March 2014

Bertarung habis-habisan demi rakyat - Mei Fun

HULU LANGAT, SABTU, 01 Mac, 2014; Calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun menegaskan beliau tidak akan sesekali mengaku kalah sebaliknya sedaya upaya 'bertarung' demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Katanya, semangat kerja berpasukan BN juga membangkitkan keyakinan untuk memberi saingan sengit dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Mengakui bukannya mudah untuk mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mei Fun berkata, tidak mustahil untuk beliau menang atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti berikutan rekod buruk parti lawan itu di DUN Kajang.

"Saya bertemu dengan penduduk setempat sejak dipilih sebagai calon BN dan amat bersyukur kerana rata-rata penduduk menyenangi kehadiran saya.

"Mereka turut berkongsi pengalaman buruk dalam tempoh lapan bulan sebelum ini. Tidak ada sesiapa pun memberikan perkhidmatan dan perkara ini adalah kebimbangan utama penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas menyertai program kemasyarakatan termasuk gotong-royong anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Delima di Kajang, di sini hari ini.

PRK DUN Kajang diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Mei Fun berkata, beliau yakin penduduk mahukan perubahan dan bukan gimik politik semata-mata pada setiap masa seperti yang dilakukan oleh pembangkang.

"Saya beritahu penduduk setempat, rekod prestasi saya sebelum ini sudah terbukti.

"Saya biasa turun ke bawah untuk memberi perkhidmatan secara peribadi kepada rakyat sewaktu mewakili Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal," jelasnya.

Dalam pada itu, Mei Fun melahirkan rasa bimbang dengan penularan demam denggi di Kajang.

"Penganjuran program gotong-royong seperti ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peranan mereka supaya tidak mengambil mudah tentang pembiakan nyamuk aedes.

"Saya sendiri sedang mengusahakan beberapa perkara bagi menangani isu ini secepat mungkin, banyak aduan mengenainya dibuat oleh penduduk kepada saya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment