Rakan yakinkan Ammar jumpa kaunseling
STOCKHOLM, SABTU, 01 Mac, 2014: ''Hanya bapanya yang pukul dia." Demikian keterangan rakan baik anak lelaki sulung pasangan suami isteri yang dibicarakan di Sweden kerana didakwa memukul anak-anak mereka.
Nicolai Mikkelsen, 13, yang menjalin persahabatan dengan Ammar berkata, dia mendapati rakannya itu dipukul oleh bapanya apabila dia menanyakan kenapa mood Ammar selalu dalam keadaan tidak elok dan sakit di bahagian bahu.
''Kadang-kadang apabila kami menepuk bahunya, Ammar akan naik marah dan menyatakan bahunya sakit. Apabila kami bertanya mengapa, Ammar berkata, ia disebabkan ibu bapa memukulnya," ujar Mikkelsen sambil menambah bahawa dia menyedari hal itu ketika mereka dalam gred enam, kira-kira dua tahun lalu.
Memandangkan Mikkelsen masih di bawah umur, keterangannya dikemukakan di Mahkamah Daerah Solna di sini dalam bentuk rakaman temu bual oleh pihak polis Sweden.
Mikkelsen menggambarkan Ammar sebagai seorang 'budak yang baik, bekerja keras tetapi agak sensitif'.
Remaja yang berambut perang gelap, memakai baju-T dan seluar kargo serta bercakap dalam bahasa Denmark, yang diterjemah ke dalam bahasa Sweden sepanjang temu bual selama 40 minit itu sebelum diterjemah pula ke dalam bahasa Inggeris untuk difahami oleh pasangan suami isteri tersebut.
Mikkelsen berkata, dia dan beberapa lagi rakan Ammar telah menyakinkan remaja Malaysia itu supaya menemui kakitangan kaunseling sekolah untuk melihat sekiranya mereka boleh membantu menghalang ibu bapa Ammar daripada memukulnya.
Azizul Raheem Awaludin, Pengarah Tourism Malaysia di sini dan isteri, Shalwati Nor Shal ditahan sejak 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia telah dipukul, menyebabkan mereka melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Apabila ditanya siapa di antara ibu dan bapa Ammar yang memukul rakannya itu, Mikkelsen berkata, dia mengandaikan perbuatan itu dilakukan oleh si bapa, memandangkan Ammar tidak pernah memaklumkan ibunya yang memukulnya.
Saksi itu berkata, Ammar ada memberitahunya yang dia dipukul dalam lima hingga lapan kejadian, dengan menyatakan ibu bapanya memukulnya hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh seperti lewat makan malam.
''Ammar memberitahu tentang insiden kecil sewaktu dia dipukul di bahu tetapi dalam satu insiden yang lebih serius, bapanya telah memukulnya dengan lebih kuat dan bercakap dengan nada keras terhadapnya," kata Mikkelsen.
Keterangan itu bagaimanapun bercanggah dengan keterangan Ammar yang mendakwa dia hampir dipukul oleh ibunya, malah menyatakan dia dipukul 'seribu kali dalam setahun'.
Mikkelsen mengaku dia hanya melihat tanda merah pada bahu Ammar beberapa kali dan kesan itu 'cukup kecil untuk disebabkan oleh sesuatu'.
Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan bersambung 3 Mac ini. - THE STAR/UTUSAN
No comments:
Post a Comment