* GAMBAR bertarikh 15 Januari lalu, menunjukkan beberapa anggota tentera dari Burundi, memerika sekumpulan militia anti-Balaka, selepas mereka didakwa memiliki bom tangan di Bangui, Republik Afrika Tengah. - REUTERS |
Menurut laman web allafrica.com yang memetik pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), Philippe Leclerc, sentimen anti-Islam amat tinggi ketika ini di negara tersebut.
Katanya yang baru pulang selepas dua bulan berada di Republik Afrika Tengah, keadaan itu memerlukan pengantaraan politik dan penambahan kekuatan tentera bagi melindungi penduduknya.
"Sekiranya lebih ramai anggota tentera antarabangsa ditempatkan, saya percaya kes-kes pencabulan hak asasi manusia akan kurang berlaku, malah tidak ramai penduduk akan berlindung di kawasan lain atau lari ke luar negara.
"Usaha politik dan penempatan tambahan anggota tentera boleh mengelakkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai," katanya.
Jelas Leclerc, pihaknya ada menjalankan usaha melindungi keselamatan penduduk awam di seluruh negara itu, namun kurang berhasil disebabkan kurangnya dasar dan bidang kehakiman Republik Afrika Tengah untuk melindungi rakyatnya sendiri.
Tambahnya, pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam oleh anggota militia anti-Balaka berlaku di barat dan utara negara tersebut, menyebabkan mereka terpaksa berlindung, namun sering gagal mencari jalan keluar yang selamat.
Laporan UNHCR menganggarkan, sebanyak 700,000 penduduk Republik Afrika Tengah kini menjadi pelarian akibat krisis tersebut, sementara hampir 290,000 kini berlindung di Republik Demokratik Congo, Chad dan Cameroon. - AGENSI/UTUSAN
No comments:
Post a Comment