Sunday, 2 March 2014

Wanita UMNO tubuh tabung hargai jasa veteran parti

KUALA LUMPUR, SABTU, 001 Mac, 2014: Pergerakan Wanita UMNO akan menubuhkan Tabung Pejuang Nadi Rakyat bagi menghargai perjuangan dan jasa yang dicurahkan oleh ahli veteran parti itu.

Ketua Pergerakannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tabung itu bertujuan membantu serta membela kebajikan ahli-ahlinya yang telah uzur dan akan dilancarkan kira-kira tiga bulan lagi.

"Wanita merupakan tunjang utama perjuangan UMNO dan mereka yang telah berkorban terutama di peringkat akar umbi tidak seharus dilupakan.

"Kita akan mula mendokumentasikan butiran ahli-ahli pergerakan ini di peringkat negeri seterusnya akan diperluaskan di setiap bahagian di seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Pemimpin Wanita UMNO di Hotel Premiera di sini semalam.

Seramai 119 orang pemimpin pergerakan itu daripada pelbagai jawatan diraikan dalam majlis tersebut bagi menghargai perjuangan yang dilakukan sepanjang pembabitan mereka dalam UMNO.

Menurut Shahrizat, semua ahli pergerakan itu mempunyai tempat dan kedudukan tersendiri walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas persediaan pergerakan itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama lagi, beliau berkata, Wanita UMNO sudah bersedia sepenuhnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment