Tuesday, 1 April 2014

Ketua sindiket, isteri diberkas

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN

 * JALALUDDIN Abdul Rahman (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan, Suprintendan Amran Ramli (kiri) menunjukkan tin milo dan sebuah tong plastik yang dijadikan tempat simpanan 39,399 biji pil kuda di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID
KOTA BHARU, ISNIN, 31 Mac, 2014: Seorang lelaki dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah termuda di negeri ini dan isterinya ditahan kerana memiliki 39,399 biji dadah jenis WY atau pil kuda bernilai kira-kira RM1 juta, dalam serbuan di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 2.45 petang itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut merampas wang tunai berjumlah RM39,599 serta 9,000 baht Thailand (RM907), selain menyita dua buah kenderaan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rampasan terbabit adalah kejayaan terbesar pasukan polis negeri itu sejak awal tahun ini.

"Kegiatan lelaki tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai buruh dan wanita warga Thailand berumur 25 tahun itu, berjaya dikesan oleh pihak polis selepas membuat intipan sejak tahun lalu.

"Ketika serbuan, suspek yang dipercayai antara sindiket pengedar dadah termuda di negeri ini cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

"Suspek kemudian membawa polis ke tempat dia menyembunyikan tin Milo mengandungi dadah ditanam dalam tanah serta tong plastik yang disorok dalam hutan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Jalaluddin memberitahu, kesemua pil yang dirampas tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran dan untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Kata beliau, siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing yang diperoleh juga negatif dadah.

"Pasangan terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, sebanyak 1,582 tangkapan berkaitan dadah di sempadan telah dibuat, yang melibatkan rampasan 60,215 biji pil kuda bernilai RM1.6 juta sejak awal tahun ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment