* MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan sebahagian daripada 50 penerima surat tawaran Biasiswa Nasional 2014 selepas majlis penyampaiannya di Institut Pentadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur, semalam. |
Tawaran penajaan itu adalah untuk membolehkan pelajar berkenaan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di dalam dan luar negara, berdasarkan merit akademik.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan ketika berucap menyempurnakan majlis itu berkata, dengan adanya dasar penajaan dan inisiatif seperti Biasiswa Nasional akan dapat menghasilkan "kumpulan bakat bagi masa depan. Kerajaan memang sedar mengenai pentingnya usaha-usaha untuk melatih, membangun serta mengekalkan modal insan yang terbaik.
"Justeru Program Biasiswa Nasional merupakan satu pelaburan jangka panjang kerajaan bagi mencapai agenda pembangunan modal insan negara," katanya.
Biasiswa Nasional diperkenalkan pada 2009 dengan penawaran kepada 30 pelajar terbaik SPM sebelum bilangan penajaan ditambah kepada 50 bagi pelajar SPM 2011 dan ia kekal sehingga kini.
Muhyiddin berkata, matlamat kerajaan ke atas pelajar-pelajar terpilih adalah untuk melahirkan modal insan terbaik yang dapat menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berdaya saing.
Beliau berkata, selain Biasiswa Nasional, dua inisiatif lain turut disediakan kepada pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Talent Acceleration In Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR).
Ia menyediakan peluang kepada pelajar tajaan JPA untuk memajukan kerjaya masing-masing dalam bidang-bidang utama menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) terutamanya yang melibatkan 12 bidang di bawah NKEA.
TAPS menurut Muhyiddin bertujuan memberi peluang kepada pelajar cemerlang tajaan JPA untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment