My Add

Thursday, 1 May 2014


Dasar negara antara punca kemerosotan jualan Proton


 * DR. Mahathir Mohamad menunjukkan buku berjudul A UN Chronicle 1988-1998 sambil diperhatikan Razali Ismail selepas melancarkan buku itu, di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Kemerosotan jualan kereta nasional, Proton banyak disumbangkan oleh dasar negara yang kini tidak memberi tumpuan kepada pembangunan industri tempatan, sebaliknya lebih memfokuskan kepada pengguna.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengguna hanya mahu membeli barangan terbaik serta pada harga murah dan mereka tidak peduli apa yang bakal terjadi kepada negara akibat tindakan mereka itu.

"Sebab itu kita dapati sekarang sukar bagi Proton bersaing dengan syarikat lain termasuk dengan Perodua. Perodua bukan keluar kereta tempatan tetapi kereta Jepun yang dipasang di Malaysia.

"Sebaliknya Proton dari A hingga Z cuba membangunkan industri tempatan tetapi malangnya pengguna tidak peduli jika industri ini mati, walaupun lebih 250,000 orang (pekerja Proton) menderita. Mereka lebih utamakan harga, jenama yang terkenal serta jenama asing dan dengan itu kita sukar untuk bersaing. Namun, kita tetap akan cuba," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk A UN Chronicle 1988-1998 yang dihasilkan bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Razali Ismail dan Sharifah Shifa al-Attas di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, Proton kini menghadapi cabaran yang amat hebat di pasaran tempatan kerana terpaksa bersaing dengan jenama kereta import yang kerap mengeluarkan model-model baharu.

Katanya, syarikat automotif asing merupakan perusahaan besar yang tidak kisah sekiranya jualan kenderaan mereka rugi di negara ini kerana masih boleh meraih keuntungan di tempat lain.

"Sebaliknya, kita (Proton) masih kecil dan perlu perlindungan. Perlindungan bagi industri tempatan bukan hanya dibuat di Malaysia tetapi di semua negara.

"Di Amerika Syarikat (AS) ada perlindungan untuk kacang soya dan pertanian. Di Jepun dan Korea Selatan juga ada perlindungan untuk industri tempatan tetapi kita di Malaysia terbuka, sesiapa sahaja boleh masuk," katanya.

Mengikut laporan, penguasaan pasaran kereta nasional iaitu Proton dan Perodua mengecil kepada 48 peratus setakat suku pertama 2014 disebabkan ketiadaan model-model baharu yang mampu memberi impak kepada pasaran.

Proton hanya mencatatkan jualan kereta 32,734 buah pada suku pertama tahun ini berbanding 34,343 tempoh sama tahun lalu manakala jualan Perodua pula jatuh kepada 44,024 buah berbanding 46,696 buah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment