My Add

Thursday, 1 May 2014

Dekati usahawan, profesional muda

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Usahawan bumiputera perlu memanfaatkan sepenuhnya segala peluang yang tersedia hasil daripada dasar kerajaan agar mereka bukan sahaja mampu bersaing tetapi akhirnya dapat berdikari tanpa mengharapkan 'talian hayat' selamanya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, persekitaran ekonomi dunia sekarang menuntut kepada saingan berdasarkan merit dan jika usahawan bumiputera masih dengan pemikiran mengharapkan 'talian hayat', mereka akan ketinggalan.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, kerajaan sememangnya ingin melihat keupayaan ekonomi bumiputera diperkasa tetapi langkah itu perlu disambut dengan corak pemikiran baharu dalam kalangan usahawan agar mereka mempunyai daya tahan yang tinggi.

“Persekitaran ekonomi sudah berubah dan usahawan bumiputera perlu menerima realiti ini. Kerajaan sentiasa membantu untuk memperkasakan ekonomi bumiputera melalui pelbagai dasar yang kita perkenalkan tetapi perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan.

“Usahawan bumiputera mesti guna peluang yang disediakan untuk berdikari dan tidak boleh hanya bergantung kepada 'talian hayat' kerajaan semata-mata," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Program Peguam Perintis Muda di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Rajhi Bank, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz serta Pengerusi Biro Profesional Muda Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Program Peguam Perintis Muda iaitu hasil kerjasama SukaGuam, Al Rajhi Bank dan Pemuda UMNO menyaksikan seramai 30 peguam muda diberi dana antara RM100,000 hingga RM200,000 seorang untuk membolehkan mereka membuka firma guaman sendiri.

Menyentuh mengenai program tersebut, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan titik permulaan baik bagi memperkasa bidang profesional muda dalam usaha melahirkan peguam yang mempunyai kemahiran lengkap merangkumi aspek perundangan dan perniagaan.

“Ini merupakan satu lagi produk yang telah direalisasikan dalam usaha Pemuda UMNO mendekati golongan profesional muda yang selama ini ramai beranggapan mereka sukar untuk didekati tetapi kita buktikan sebaliknya menerusi program nilai tambah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment