My Add

Thursday, 1 May 2014

Kadet Koreksional latih 3,700 pelajar

 * ZULKIFLI Omar (kiri) menyampaikan piala kepada kontinjen Kadet Koreksional Sabah yang muncul juara keseluruhan dalam Perkhemahan Pasukan Kadet Koreksional Peringkat Kebangsaan 2014 di Bachok, Kelantan, malam semalam.
BACHOK, RABU, 30 April, 2014: Jabatan Penjara mengendalikan aktiviti kokurikulum mingguan bersama lebih 3,700 pelajar sekolah menengah menerusi badan beruniform, Kadet Koreksional yang ditubuhkan sejak 2004.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, setakat ini 55 sekolah menengah menubuhkan kadet berkenaan yang memberi penekanan terhadap pembinaan sahsiah, patriotisme, jati diri dan perkongsian pengalaman banduan yang boleh dijadikan teladan.

Turut diberi penekanan, kata beliau, usaha membantu pihak sekolah menangani gejala penagihan dadah serta kes-kes jenayah lain.

“Pembelajaran sepanjang latihan mingguan Kadet Koreksional juga dipertandingkan dalam satu perkhemahan di peringkat kebangsaan membabitkan penyertaan anggota dari seluruh negara.

“Kita juga merancang untuk menambah bilangan penubuhan Kadet Koreksional ini di sekolah mulai tahun ini," katanya demikian selepas menutup Perkhemahan Pasukan Kadet Koreksional Peringkat Kebangsaan 2014 di Kem Kokurikulum Kementerian Pendidikan di Tangok, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian kementerian, Mohd. Anuar Abdul Hamid dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Rosnah Wan Ibrahim.

Program selama enam hari bermula Jumaat lalu itu menyaksikan kontinjen Sabah merangkul juara keseluruhan selepas mengungguli pertandingan kawad kaki kumpulan, pertandingan seni tangkas serta seni budaya.

Sementara itu, Mohd. Anuar berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan tenaga dan kepakaran dalam usaha memperkasa kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, pendidikan menerusi aktiviti kokurikulum bakal melahirkan modal insan yang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi cemerlang dalam pelbagai bidang dan menjadi kebanggaan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment