Thursday, 1 May 2014

klia2 beroperasi tengah malam ini

SEPANG, RABU, 30 April, 2014: Terminal klia2 dijadual menerima pendaratan pesawat Malindo Air dari Kota Kinabalu pada pukul 12.05 tengah malam Jumaat ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara.

Terminal klia2 yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, klia2 telah bersiap sedia untuk operasinya bermula tengah malam esok.

“Beberapa siri pemeriksaan telah dijalankan dan saya melihat semua sistem sudah bersedia. Kita tidak berkompromi dari segi keselamatan dan klia2 berjaya mendapat pengesahan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta perunding-perunding bebas.

“Terminal klia2 adalah projek ikonik yang perlu dibanggakan, ia bukan perjalanan mudah tetapi akhirnya kita sampai ke destinasinya," katanya kepada pemberita selepas menaiki KLIA Transit ke klia2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pelbagai cabaran menunggu terminal klia2 termasuk kaedah pengendalian pergerakan manusia serta pengangkutan antara terminal utama dengan lapangan terbang itu yang memerlukan kerjasama antara pelbagai agensi.

Beliau pada masa yang sama memberi-tahu, kerajaan belum membuat keputusan mengenai kadar cukai lapangan terbang untuk klia2.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, landasan Express Rail Link (ERL) yang menghubungkan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan terminal klia2 adalah sepanjang 2.2 kilometer (km) dan bukannya satu kilometer seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Selain itu, bayaran RM2 yang dikutip untuk penumpang yang berulang-alik antara terminal utama KLIA dengan klia2 akan digunakan untuk tujuan penyelenggaraan," katanya.

Tambahnya, pembinaan landasan antara terminal utama dengan klia2 adalah ditanggung kerajaan kerana merupakan projek pengangkutan awam.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini dilaporkan mempersoalkan RM100 juta yang dibelanjakan kerajaan untuk membina landasan yang menghubungkan dua terminal tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment