Thursday, 1 May 2014

Pengurusan kekayaan Islam

Oleh Zunaidah zainon dan Nurfarahin Hussin
 
 Nik Ramlah
KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Pengurusan kekayaan Islam mempunyai potensi besar di Malaysia didorong oleh pasaran semasa dan sokongan kerajaan dari semasa ke semasa.

Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood berkata, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk menjadi pusat pengurusan kekayaan Islam berdasarkan kepada kekuatan pasaran modal negara yang menyumbang sebanyak 8.8 peratus pada tahun 2013 dan kini bernilai RM1.5 trilion, iaitu 56 peratus daripada industri perbankan.

Katanya, negara masih mengekalkan kedudukan sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia dengan 69 peratus daripada pasaran dan 71 peratus daripada syarikat-syarikat awam tersenarai adalah patuh syariah yang menandakan kepelbagaian pasaran kewangan Islam Malaysia.

“Kami di Suruhanjaya Sekuriti akan memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat pengurusan kekayaan Islam melalui lima teras yang dapat mewujudkan kemampatan ekosistem iaitu pelabur, penerbit, instrumen, budaya dan maklumat.

“Perjalanan untuk menjadi pusat global pengurusan kekayaan Islam sememangnya mencabar kerana kita perlu bersaing dengan pusat-pusat pengurusan kekayaan yang telah ditubuhkan namun ia tidak mustahil," katanya ketika ditemui di Simposium Pengurusan Kekayaan Islam 2014 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif BNP Paribas Malaysia, Krishna Chetti melihat Malaysia mempunyai potensi besar dalam mencapai wawasan itu.

“Malaysia mempunyai banyak potensi untuk menjadi pusat pengurusan kekayaan Islam kerana infrastruktur dan insentifnya yang mesra pasaran.

“Penubuhan pusat-pusat seperti Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah pelengkap kepada matlamat ini seterusnya kewangan Islam Malaysia akan terus berkembang," katanya.

Menyentuh tentang perkembangan BNP Paribas Malaysia, beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada perbankan korporat dan institusi kewangan.

“Bank akan memberi fokus kepada sektor korporat berbanding peruncitan. Bagaimanapun, kami tidak bersaing dengan mana-mana bank tempatan sebaliknya menjalin kerjasama dengan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment