Thursday, 1 May 2014

Terengganu laksana jika sudah bersedia

KUALA TERENGGANU, RABU, 30 April, 2014: Terengganu hanya akan melaksanakan hukum hudud sekiranya benar-benar bersedia dan mempunyai segala kemampuan untuk berbuat demikian seperti mana dituntut dalam Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelaksanaan hukum Islam itu bukan perkara yang boleh dimain-main melainkan sudah cukup persediaan dan berupaya untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah menolak hudud sebaliknya sebagai orang Islam, hukum hudud wajib dilaksanakan mengikut segala syarat yang ditetapkan Islam, bukannya disebabkan kepentingan politik semata.

“Kita tidak ada masalah, kalau Kelantan berjaya laksanakan hudud dan prosesnya berjalan lancar, kita terimalah. Baru-baru ini Brunei hendak buat hudud tetapi menariknya semula, begitu juga Pakistan. Tetapi kalau molek, kita ikutlah.

“Yang penting kita kena benar-benar bersedia dan berkemampuan, dari segi penghakiman (apakah) kita cukup hakim, juga pendakwa dan pegawai penyiasat dan mereka juga mesti beragama Islam," katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau kerja-kerja menyiapkan projek pembinaan Kompleks Paya Bunga Square (PB Square) di Jalan Engku Embong Fatimah di sini hari ini.

Ahmad mengulas pendirian kerajaan negeri Terengganu berhubung langkah kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu biarpun mendapat bantahan hebat daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Menurut Ahmad, semua pihak perlu faham dengan jelas bahawa hudud adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan sempurna, bukannya 'hukum politik'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment