APMM gagalkan cubaan seludup keluar 14 PATI warga Indonesia
JOHOR BAHARU, RABU, 29 Mei, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 14 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dengan menggunakan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Pengelih, dekat Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Mustapa Kamal Abas berkata kesemua lelaki berumur 20 dan 45 tahun bersama seorang tonto laut tempatan berumur 25 tahun tersebut berjaya ditahan kira-kira pukul 11.45 malam, selepas cubaan kali kedua mereka untuk menyeludup keluar itu gagal.
"Pada mulanya, anggota APMM yang mengesan bot itu pada kira-kira 10 malam gagal menahan kesemua mereka kerana mereka berjaya terjun ke laut dan meloloskan diri dengan berenang ke pantai.
"Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.45 malam, anggota APMM sekali lagi berjaya mengesan sebuah bot yang dipercayai dinaiki kesemua mereka lalu mengejar bot itu yang memecut laju ke pantai berhadapan bangunan Jabatan Kerja Raya Tanjung Pengelih apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya.
Mustapa Kamal berkata kesemua mereka kemudian berjaya ditahan di pesisir pantai dengan bantuan anggota Balai Polis Pengerang dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Sultan Ismail.
Beliau berkata kesemua mereka kini diserahkan kepada APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment