Lelaki diburu bantu siasatan kes rompakan bersenjata api
JERANTUT, RABU, 29 Mei, 2013: Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rompakan bersenjata api di sebuah kedai makan di Kilometer 2, Jalan Jerantut-Benta di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, seorang pemilik kedai makan berusia 50-an cedera ditembak di lengan kiri oleh suspek berusia 30-an.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim berkata, mangsa bersama isteri sedang berkemas menutup perniagaan manakala seorang pembantunya berada di belakang kedai.
"Ketika mangsa duduk di kerusi luar kedai, seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo dan bertopi keledar penutup penuh muncul dan meminta wang.
"Mangsa enggan memberikan wang dan suspek bertindak menyelak tudung yang dipakai oleh isteri mangsa untuk meragut barang kemas namun gagal kerana tiada rantai di leher wanita itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.
Menurutnya, berang dengan keengganan pasangan suami isteri itu, suspek melepaskan satu das tembakan mengenai lengan kiri mangsa dan tembus sehingga ke rusuk kiri.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan ke arah bandar dan orang awam berada di kawasan berhampiran tempat kejadian menghubungi polis.
"Kita percaya kejadian ini bermotifkan rompakan dan dilakukan oleh suspek rakyat tempatan. Suspek bagaimanapun menyamar warga Indonesia melalui loghat percakapan ketika meminta wang, namun bertukar kepada loghat tempatan apabila gagal mendapatkan wang tersebut," katanya.
Katanya, usaha kini dijalankan untuk mengesan suspek manakala mangsa kini dirawat di Hospital Temerloh.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Jerantut di talian 09-2662222. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment