Friday, 28 June 2013

Bank Rakyat dilantik ejen kutipan cukai LHDN

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID dan FAZRINA AYU RADUIAN

 * MUSTAFHA Abd. Razak (kiri) bertukar dokumen dengan Mohammad Sait Ahmad (kanan) dalam majlis MoU di antara Bank Rakyat dengan LHDN di Bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Sabbaruddin Chik (dua, kiri) dan Mahmood Daud (dua, kanan).
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) terus mengembangkan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan dengan menjadi ejen kutipan bagi pembayaran cukai pendapatan di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, usahasama strategik antara bank tersebut dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal memberikan impak positif dari segi kutipan hasil kerajaan serta pematuhan cukai.

Katanya, kerjasama ini juga antara langkah bagi mencapai sasaran 50 peratus kutipan cukai melalui mesin elektronik yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Dengan jumlah cawangan Bank Rakyat sebanyak 141 buah di seluruh negara, secara tidak langsung akses pembayaran cukai pendapatan dapat ditingkatkan.

"Ini sekali gus membolehkan cawangan berpeluang melakukan jualan bersilang dengan pelanggan berpotensi yang hadir ke premis tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat dengan LHDN di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengarah Jabatan Pungutan Hasil LHDN, Mahmood Daud.

Mustafha berkata, inisiatif tersebut akan terus dikembangkan lagi dengan terlaksananya kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui sistem perbankan internet i-Rakyat pada fasa kedua nanti.

"Sebagai permulaan, bayaran cukai pendapatan boleh dibayar melalui semua kaunter Bank Rakyat di seluruh negara dan diperluaskan kepada perbankan internet dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank itu," jelasnya.

Tambahnya, jenis cukai pendapatan yang boleh dibayar di Bank Rakyat ialah Cukai Pendapatan (CP) dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohammad Sait Ahmad berkata, dengan termeterainya perjanjian ini, secara rasminya Bank Rakyat menjadi ejen ke-13 yang mampu meningkatkan jumlah kutipan cukai.

"Kerjasama ini mampu meningkatkan jumlah kutipan cukai dan menjadikan Bank Rakyat sebagai penyedia perkhidmatan kewangan terunggul dan terbaik di Malaysia," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment