Friday, 28 June 2013

Kajian sektor pembinaan elakkan kejadian buruk berulang kembali

 * FADILLAH Yusof (dua dari kiri) diiringi oleh Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kiri) bersalaman dengan kakitangan Kementerian Kerja Raya pada Majlis Penyampaian Anugerah perkhidmatan Cemerlang APC Tahun 2012 di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Kementerian Kerja Raya kini dalam proses mengkaji semula sektor pembinaan negara secara menyeluruh bagi mencari pendekatan berkesan yang boleh dijadikan panduan amalan baik di dalam bidang tersebut.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, kumpulan 11 orang pakar yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) diberi tempoh selama tiga bulan menyediakan laporan untuk dibentangkan kepada kerajaan, sebelum dibahaskan bersama badan profesional pembinaan dan syarikat kontraktor.

Katanya, inisiatif penambahbaikan itu dijalankan dalam usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku ketika dan selepas proses pembinaan.

"Menurut laporan, sudah dua minggu kumpulan ini menjalankan kajian. Kita akan lihat apakah yang boleh dilakukan untuk memperkemaskan dari segi teknikal, penggunaan bahan, proses pembinaan, prosedur digunakan dan keselamatan atau kesihatan.

"Sebelum ini memang ada ketetapan, tetapi kita kena lakukan proses penambahbaikan, mengapa masih berlaku kemalangan, kita akan lihat satu persatu,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya 2012.

Sebanyak 911 warga kementerian menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada kali ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Himmat Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Noor Yaakob.

Katanya, hasil kajian itu, kementerian akan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bakal diguna pakai oleh semua pemain dalam sektor pembinaan.

"Akhirnya nanti kita akan dapat laporan dan kemukakan kepada kerajaan untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan pihak swasta sebelum dilaksanakan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang tragedi runtuhan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang, Fadillah berkata, kini kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut diberhentikan buat sementara waktu.

Katanya, ini bagi memberi ruang kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) melakukan siasatan teknikal mencari punca runtuhan tersebut.

"Kita sedang menunggu laporan penuh daripada DOSH, mereka perlukan tempoh sebulan dari tarikh kejadian untuk buat kajian terperinci," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment