Thursday, 27 June 2013

Culik pelajar kolej, 3 dipenjara seumur hidup

SHAH ALAM, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Sepasang kekasih dan rakan mereka dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik dan mengurung seorang pelajar kolej, empat tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap I. Shatisruben, 25, G. Vasantha Kumari, 25, dan Mujahidin Nazardin, 21.

Hakim Noor Azian dalam penghakimannya berkata, keterangan kesemua tertuduh tidak masuk akal dan bercanggah antara satu sama lain.

Ketiga-tiga mereka didakwa menculik dan mengurung perempuan yang berusia 22 tahun ketika kejadian secara salah di depan rumah di Selayang Baru, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 5.45 pagi, 1 Februari 2010.

Kesalahan itu dilakukan bagi mendapatkan wang tebusan RM30,000.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman.

Satisruben diwakili peguam G. Ganeson, Vasantha Kumari diwakili Wan M. Razali Wan A. Kadir dan Mujahidin oleh Sreekant Pillai.

Keterangan mahkamah mendapati tertuduh pertama dan kedua yang merupakan pasangan kekasih mengekori mangsa dan menculiknya ketika dalam perjalanan ke kolej.

Mangsa dikurung selama tiga hari dan dilepaskan selepas tertuduh-tertuduh mendapat wang tebusan daripada keluarganya.

Kesemua tertuduh kemudian diberkas polis pada hari yang sama dan mereka terlibat dalam kemalangan ketika cubaan melarikan diri sebelum ditangkap bersama wang tersebut.

Sepanjang perbicaraan pendakwaan memanggil 14 saksi manakala pembelaan, tiga termasuk tertuduh sendiri. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment