Thursday, 27 June 2013

Hanya 2 kawasan IPU tidak sihat

Oleh ROZIANAH RISMAN

 * MENARA berkembar Petronas sudah boleh dilihat dari jarak jauh ekoran penurunan IndeksPencemaran Udara (IPU) hampir di seluruh negara semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 26 Jun, 2013: Hujan di kebanyakan kawasan di Lembah Klang pada lewat petang dan malam semalam telah sedikit-sebanyak membantu mengurangkan partikel jerebu di ruang udara, sekali gus menyebabkan kualiti udara bertambah baik.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata, ekoran itu, status kualiti udara di seluruh negara bertambah baik berbanding semalam, bahkan bilangan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 telah berkurangan kepada dua kawasan berbanding 24 kawasan sebelum ini.

"Peningkatan status kualiti udara juga dipengaruhi keadaan cuaca dalam negara apabila kekuatan angin barat daya yang bertiup lemah pada skala kurang daripada 10 kilometer sejam.

"Angin daripada pelbagai hala telah menyebarkan ketebalan asap jerebu sebelum ini ke kawasan lebih meluas meliputi keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Tambahnya, keadaan cuaca dan pergerakan angin ini dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

"Sekiranya punca kebakaran atau titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia terus berkurangan, kualiti udara juga dijangka bertambah baik sehingga 28 Jun ini," katanya.

Sementara itu, JAS menerusi laman sesawangnya memberitahu, setakat pukul 7 malam, kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai (108) di Melaka serta Nilai (152) di Negeri Sembilan.

Kawasan Pelabuhan Klang yang merekodkan IPU pada tahap bahaya dengan bacaan 464 semalam bertambah baik apabila merekodkan IPU 93 pada tahap sederhana.

Kualiti udara di ibu negara dan Selangor secara keseluruhan berada pada tahap sederhana dengan Batu Muda merekodkan bacaan IPU 80, Cheras (74), Banting (91), Kuala Selangor (89), Petaling Jaya (82) dan Shah Alam (78).

Begitu juga di kawasan pantai timur semenanjung, seluruh kawasan berada pada tahap sederhana dengan Kota Bharu merekodkan IPU 65, Tanah Merah (62), Balok Baru (68), Indera Mahkota (57), Jerantut (64), Kemaman (79), Kuala Terengganu (77) dan Paka (65).

Kawasan utara semenanjung turut merekodkan IPU pada tahap sederhana, antaranya Tanjung Malim (75), Seri Manjung (82), SK Jalan Pegoh (70), Taiping (51), Jalan Tasek (64), Perai (52) dan kawasan Universiti Sains Malaysia (53).

Di selatan semenanjung pula, seluruh kawasan di Johor berada pada tahap sederhana apabila merekodkan bacaan IPU di bawah 100 dengan Kota Tinggi (75), Larkin Lama (60), Muar (64) dan Pasir Gudang (56).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment