Thursday, 27 June 2013

Mahkamah tetapkan bicara kes Setiausaha PKR Pahang 10 dan 11 September

KUANTAN, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 10 dan 11 September depan bagi perbicaraan kes membabitkan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Kamarzaman Mohamed Yunus yang dituduh menganjurkan perhimpunan haram, bulan lalu.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Fathiyah Idris selepas mendengar hujah dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Amer Abu Bakar.

Kamarzaman, 57, didakwa menganjurkan program 'Datuk Seri Anwar Ibrahim Bertemu Rakyat' pada 14 Mei lalu di ibu pejabat PKR negeri, di Lot 1051, KM8 Jalan Beserah, dekat sini.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Irfan Abdullah.

Sementara itu, Amer dalam hujahnya memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan belum memutuskan jumlah saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Hakim turut menetapkan 29 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Pada 27 Mei lalu, Kamarzaman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. - BH

No comments:

Post a Comment