My Add

Friday, 28 June 2013

Malaysia-Indonesia sepakat selesaikan masalah jerebu

JAKARTA, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Malaysia dan Indonesia sepakat untuk bekerjasama mencari pendekatan penyelesaian jangka panjang paling efektif dalam usaha mengatasi masalah jerebu yang sering terjadi di rantau ini.

Kedua-dua negara itu juga akan sentiasa mengawal dan mengadakan pemeriksaan secara berkala di semua titik panas khususnya ketika musim kemarau bagi memastikan kejadian jerebu tidak berulang lagi pada masa depan.

Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, Malaysia bersedia untuk membantu Indonesia pada bila-bila masa dalam waktu terdekat ini untuk memadamkan kebakaran hutan secara terbuka di Sumatera.

"Apa yang penting ialah kerajaan Malaysia bersedia memberi kerjasama dan bantuan kepada Indonesia bagi memastikan masalah jerebu yang menjejaskan ruang udara kedua-dua negara serta Singapura.

"Pada masa sama kita juga memerlukan pendekatan penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek," kata Palanivel kepada pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Dr. Balthasar Kambuaya bagi membincangkan mengenai masalah jerebu yang telah menjejaskan ruang udara Malaysia dan Singapura.

Pada pertemuan itu, Palanivel turut menyampaikan surat daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada Dr. Balthasar untuk disampaikan kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Palanivel turut memberitahu, Dr. Balthasar juga pada dasarnya bersetuju untuk menerima apa sahaja bantuan yang ditawarkan oleh Malaysia dalam menangani masalah kebakaran terbuka itu.

Bagaimanapun, tawaran berkenaan jelas Palanivel, perlu dibawa rakan sejawatannya itu ke perhatian kementerian-kementerian terbabit seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Perhutanan untuk mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.

Di peringkat Indonesia pula, Dr. Balthasar memberitahu Palanivel, negara berkenaan sudah mengirim 2,600 anggota tentera ke Riau untuk membantu memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Palanivel turut menegaskan, dakwaan yang mengatakan sebanyak lapan syarikat perladangan Malaysia melakukan pembakaran secara terbuka sehingga menyebabkan jerebu tidak benar.

Katanya, jumlah sebenar syarikat Malaysia yang disenaraikan pihak berkuasa Indonesia hanyalah empat buah syarikat dan keempat-empat syarikat itu bagaimanapun menafikan melakukan pembakaran secara terbuka di Riau sehingga menjejaskan ruang udara Malaysia dan Singapura.

Syarikat-syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di negara ini mengamalkan dasar sifar pembakaran terbuka selain tiada sebarang rancangan penanaman semula dibuat di ladang-ladang mereka untuk tahun ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment