My Add

Friday, 28 June 2013

TPPA tidak gugat kedaulatan, kepentingan negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Investor-State Dispute Settlement (ISDS) tidak akan menggugat kedaulatan dan kepentingan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, TPPA tidak mengehadkan hak kerajaan untuk mengawal selia atau mengambil langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan negara.

Beliau berkata, juga tiada peruntukan di dalam bab pelaburan TPPA termasuk peruntukan ISDS yang boleh menghalang kerajaan daripada menggunakan, mengekalkan atau menguatkuasakan langkah-langkah atau dasar-dasar domestik bagi melindungi kepentingan negara.

"Ahli-ahli Parlimen juga telah menimbulkan kebimbangan mereka terhadap kesan perjanjian TPPA ke atas industri kecil dan sederhana (IKS) Malaysia. Saya ingin tegaskan kerajaan telah mengambil maklum terhadap kebimbangan syarikat-syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan syarikat IKS.

"Berhubung IKS, TPPA telah mengambil pendekatan memastikan kepentingannya diambil kira dalam semua bidang dirundingkan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Charles Anthony R. Santiago (DAP-Klang) yang mewakili 16 soalan yang sama daripada ahli-ahli Parlimen lain.

Mustapa berkata, TPPA juga merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama di dunia memberi penekanan dan perhatian kepada IKS dengan mengadakan satu bab khusus mengenai IKS.

Berhubung pelaksanaan ISDS pula katanya, Malaysia sebelum ini telah menandatangani 74 perjanjian perlindungan pelaburan yang mengandungi peruntukan sama seperti ISDS.

Beliau berkata, dengan adanya perlindungan pelaburan ini, Malaysia telah dapat menarik masuk lebih ramai pelabur asing untuk melabur di dalam negara dan sehingga kini hanya dua kes diambil terhadap Malaysia di bawah ISDS.

"Peruntukan ISDS bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat asing malah memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia dari segi memberi perlindungan ke atas pelaburan mereka di luar negara.

"Sehingga kini dua syarikat Malaysia yang melabur di luar negara telah menggunakan peruntukan ISDS dengan jayanya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota), Mustapa berkata, walau apa keadaan sekalipun kerajaan tetap memberi jaminan untuk melindungi industri padi termasuk golongan petani serta pengguna dalam pelaksanaan TPPA.

"Kita tidak dipaksa, kita memasuki rundingan atas kehendak kita dan tidak ada sesiapa boleh paksa kita, jadi kalau Malaysia tidak setuju maka Malaysia boleh memilih untuk tidak menandatangani perjanjian itu.

"Itulah pendirian kita dan kita akan pastikan kedaulatan negara dan kepentingan negara akan sentiasa terpelihara," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment