PDRM mungkin dapat peruntukan tambahan
PUTRAJAYA, ISNIN, 02 September, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemungkinan besar akan mendapat peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2014 bagi membanteras jenayah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kekangan dihadapi PDRM dalam melaksanakan tugas, antaranya ialah daripada segi aset dan perkakasan.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka membentangkan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini.
Ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membeli helikopter bagi kegunaan Unit Udara PDRM, Ahmad Zahid berkata beliau menyokong cadangan itu dan berharap peruntukan untuk tujuan itu diluluskan.
"PDRM amat memerlukan helikopter bagi tujuan operasi...kekangan kita ialah aset dan perkakasan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment