Thursday, 5 September 2013

Penguatkuasaan maksimum terhadap pihak yang menaikkan harga

PUTRAJAYA, RABU, 04 September, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersedia melakukan penguatkuasaan maksimum terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan ke atas kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, kementerian memandang serius perkara tersebut kerana mendatangkan masalah kepada pengguna selain peniaga tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga barangan.

Beliau berkata, kementerian sentiasa bersedia berhadapan dengan apa jua keadaan termasuk melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh di kawasan-kawasan tertentu yang terdapat laporan kenaikan harga barang.

"Peniaga tidak boleh sesuka hati mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, sekiranya ada peniaga berdegil, kementerian tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.

"Bahagian dasar dan penguatkuasaan kementerian telah melakukan kajian secara terperinci dan hasilnya mendapati pengurangan subsidi minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen ini tidak memberi kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 hingga 1.3 peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membawa pihak media melakukan lawatan ke Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP) kementerian di sini hari ini.

Menurut Hasan, kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter sememangnya ada memberi kesan kepada peniaga, namun situasi tersebut dilihat tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak sehingga menaikkan harga secara mendadak dan membebankan pengguna.

"Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, sebanyak 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah termasuk penghulu dan juga individu tertentu yang dilantik kementerian," katanya.

Selain itu katanya, kementerian ketika ini memberi perhatian khusus terhadap aduan pengguna terhadap kira-kira 250 barangan bukan kawalan yang menjadi kegunaan harian rakyat negara ini.

"Kenaikan harga barangan yang diletakkan di bawah harga kawalan tidak membimbangkan kerana barangan tersebut mempunyai paras siling ditetapkan oleh kementerian dan peniaga perlu mematuhi arahan tersebut.

"Apa yang membimbangkan ialah tentang kenaikan harga barangan bukan kawalan, jadi penguatkuasaan dikhususkan kepada barangan tersebut, kita bukan menghalang kenaikan, tapi biarlah berpatutan dan rasional," katanya.

Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Orang ramai perlu sentiasa menjalin hubungan dengan kementerian dengan melaporkan aduan dengan tepat supaya peniaga yang tamak dan ingkar dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

"Pengguna yang mahu membuat aduan tentang kenaikan harga barang dan makanan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 1800 88 6800 atau layari laman e-Aduan kementerian di http://eaduan.kpdnkk.gov.my," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment