Thursday, 5 September 2013

Peranan ibu bapa diiktiraf dalam PPPM

KUALA LUMPUR, RABU, 04 September, 2013: Peranan ibu bapa diberi pengiktirafan dalam Pelan Pembangunan Pendidika Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menerima peruntukan khas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan ibu bapa dalam sekolah masih lagi terbatas sedangkan banyak sumbangan boleh diberikan tidak kira dari segi kokurikulum mahupun kepakaran tambahan.

"Saya hendak memperkukuh dan memperkasakan lagi peranan PIBG di sekolah, berkemungkinan belanjawan untuk menguruskan PIBG ini boleh kita sediakan.

"Itu saya akan berbincang dengan Perdana Menteri sebab kita ada 10,000 sekolah, kalau satu sekolah dapat RM1,000 pun sudah RM10 juta peruntukannya," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, menerusi PPPM, setiap sekolah akan dibekalkan sarana ibu bapa iaitu panduan untuk golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Katanya, dalam dunia globalisasi masa kini, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada guru semata-mata kerana setiap sumbangan akan memberi nilai tambah kepada kecemerlangan sekolah dan para pelajarnya.

Beliau memberitahu, secara keseluruhannya, pelaksanaan PPPM mendapat sokongan majoriti rakyat di negara ini biarpun terdapat bantahan daripada segelintir golongan ekstrem.

Katanya, PPPM akan tetap dilaksanakan kerana pelan itu adalah berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara, Akta Pendidikan serta Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, antara faktor penentangan itu adalah soal bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan, namun ketetapan telah dibuat agar waktu Bahasa Melayu ditambah kepada 270 minit seminggu di sekolah berkenaan.

"Tidak timbul soal bahasa Cina dihapuskan kerana selain daripada penekanan kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kita juga menggalakkan para pelajar menguasai bahasa lain dan cucu saya sendiri belajar bahasa Mandarin," katanya.

Jelasnya, dari segi pengagihan peruntukan pula, Muhyiddin berkata, masyarakat perlu memahami terdapat banyak sekolah di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman memerlukan lebih perhatian kerana infrastruktur yang serba kekurangan.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, pelaksanaan PPPM dalam tempoh 100 hari yang lalu berjaya membuahkan hasil membanggakan dengan sebanyak enam daripada 25 inisiatif menunjukkan kejayaan.

Enam inisiatif itu adalah pelancaran 1Agenda Kementerian Pendidikan, penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (Padu) dan Padu Corporation, pelancaran dan pengagihan sarana ibu bapa, pengujian guru mata pelajaran Bahasa Inggeris melalui Cambridge Placement Test (CPT), pelaksanaan program rintis program transformasi daerah dan penyediaan video e-guru. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment