Monday, 2 September 2013

TM dan Mentor Niaga bantu PKS Islam dalam perniagaan

*AZIZI A. Hadi (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Mentor Niaga Resources Sdn. Bhd., Norni Osman berbincang mengenai Konvensyen Usahawan Muslim dan Seminar '7 Mentor, 7 Industri' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, AHAD, 01 September, 2013: Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengadakan perkongsian dengan Mentor Niaga Resources Sdn. Bhd. (Mentor Niaga Resources) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Islam bergerak maju dalam rantaian nilai dan memperluas jangkauan perniagaan masing-masing.

Mentor Niaga Resources ialah sebuah organisasi yang menyediakan pelbagai platform bagi PKS untuk membina rangkaian dalam kalangan masyarakat peniaga.

Naib Presiden Eksekutif TM (PKS), Azizi A. Hadi berkata, pihaknya sentiasa terbuka bagi kerjasama dengan pertubuhan dan persatuan PKS tempatan untuk memberikan pendedahan yang sesuai bagi keperluan yang berbeza-beza kepada PKS lain.

"Di bawah perkongsian ini, TM dan Mentor Niaga Resources akan mengadakan dua sesi seminar dan konvensyen dari September hingga Oktober 2013 iaitu Konvensyen Usahawan Islam 'Bisnes Sebagai Fardu Kifayah' dan seminar '7 Mentor, 7 Industri.'

"Konvensyen 'Bisnes Sebagai Fardu Kifayah', akan diadakan pada 7 September di Kompleks Pusat Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Seminar '7 Mentor, 7 Industri' yang akan berlangsung dari 5 hingga 6 Oktober di Pusat Konvensyen TM di sini itu, bertujuan membimbing PKS ke arah kejayaan dalam perniagaan.

TM dan Mentor Niaga Resources berharap dapat mencatatkan kehadiran lebih daripada 2,000 orang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment