Monday, 2 September 2013

UDA sambut baik

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

 * AHMAD Abu Bakar (empat dari kiri) melancarkan pembukaan kediaman contoh UDA Heights di Bandar UDA Utama di Johor Bahru, kelmarin. Turut kelihatan Raja Azmi Raja Nazuddin (tiga dari kiri), Haris Ahmad (lima kanan) dan Adil Md. Nor (dua kanan).
JOHOR BAHRU, AHAD, 01 September, 2013: Pertambahan nilai kontrak sebanyak RM4.2 bilion atau 40 peratus daripada nilai keseluruhan empat projek mega yang diperuntukkan khusus kepada syarikat bumiputera disambut baik oleh UDA Holdings Berhad.

Pengarah Urusannya, Ahmad Abu Bakar berkata, Bukit Bintang City Centre (BBCC) adalah salah satu daripada projek mega tersebut yang dikendalikan oleh UDA yang kini dalam peringkat penentuan usul dan sedang menanti kelulusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Jadi tidak lama lagi kami akan membuka RFP (permohonan untuk cadangan) kepada pemaju kelas pertama untuk menjadi rakan niaga kami. UDA berharap pelan induk tersebut akan diluluskan dan kita akan meneruskan pembangunan BBCC dengan beberapa pihak. Sudah pasti SPV (syarikat bertujuan khas) yang kita akan ada terdiri dari komposisi rakan niaga bumiputera dan bukan bumiputera.

"Kerja pembinaan kepada syarikat bumiputera adalah sekurang-kurangnya 45 peratus serta dalam bidang kepakaran yang ada pada mereka.

"Bagi bidang tertentu seperti bangunan bertingkat tinggi seperti bangunan menara lebih 50 tingkat, mungkin kita memerlukan syarikat lebih besar yang bukan bumiputera untuk menjayakannya," katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan kediaman contoh UDA Heights, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tambahan nilai kontrak bernilai RM4.2 bilion atau 40 peratus daripada nilai keseluruhan empat projek mega yang diperuntukkan khusus kepada syarikat bumiputera.

BBCC adalah satu daripada projek tersebut, selain Menara Warisan Merdeka, pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah (RRI) Sungai Buloh dan Pusat Pameran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Najib dilaporkan berkata, langkah tersebut merupakan inisiatif khas untuk mewujudkan peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera bagi menyertai projek-projek mega.

Menurut Ahmad, Kementerian Kewangan selaku pemegang saham telah memutuskan kriteria tertentu yang perlu dipatuhi dan UDA kini menunggu perintah pembangunan dikeluarkan oleh DBKL sebelum kerja pembinaan dimulakan.

"Secara teknikal, (pembangunan BBCC) masih satu pelan induk dan mungkin boleh dibuat kepada tiga segmen sama ada melibatkan syarikat bumiputera sepenuhnya atau 50-50 syarikat bumiputera dan bumiputera," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment