My Add

Thursday, 5 September 2013

Ukur baju di badan sendiri - Mukhriz

 Mukhriz
ALOR SETAR, RABU, 04 Sept Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, sebarang keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak dalam pemilihan parti itu hujung tahun ini akan dibuat berdasarkan kesesuaian dengan 'mengukur baju di badan sendiri'.

Kata beliau, keputusan dibuat itu perlu sesuai dengan kedudukan dan keupayaannya kerana melibatkan perkara yang penting.

"Itu keputusan besar. Kita kena ukur baju di badan sendiri sebab pemilihan kali ini kita hendak menawarkan diri, bukan menunggu pencalonan.

"Saya tidak mahu badan kecil tetapi pakai baju besar sangat, nanti tidak sesuai tetapi tidak mahu ketat sangat pula," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pengumuman tentang keputusannya berhubung perkara berkenaan akan dilakukan pada masa terdekat selepas membuat pertimbangan terbaik daripada segenap aspek.

Katanya, beliau mempunyai beberapa pilihan dengan mengambil kira apakah yang boleh disumbangkan kepada parti dan pada masa sama memahami tanggungjawab berat sebagai Menteri Besar dan peneraju UMNO negeri.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam tersebut berkata, sehingga kini, khabar angin menyatakan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO seperti tersebar di dalam blog masih bersifat spekulasi.

"Saya ingin menyatakan maklumat itu tidak datang daripada saya atau rakan-rakan. Itu sebabnya saya kata itu spekulasi. Apabila tiba masanya saya akan membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak dan jika bertanding, jawatan apa,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment