Monday, 2 September 2013

UMNO tak akan minta jawatan Pengerusi BN negeri

GEORGETOWN, ISNIN, 02 September, 2-13: Jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dijangka akan diisi semula selepas semua parti komponen BN selesai mengadakan pemilihan parti masing-masing bulan depan, kata timbalannya Datuk Zainal Abidin Osman.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian Badan Perhubungan UMNO negeri bahawa parti itu tidak akan meminta jawatan tersebut kerana menghormati janji yang dipegang oleh parti-parti komponen sejak 1974.

Zainal Abidin, yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, jawatan itu dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN dan UMNO negeri akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih menerajui BN negeri.

Jawatan Pengerusi BN negeri dilepaskan oleh bekas Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas, selepas BN gagal merampas semula pemerintahan negeri itu daripada DAP.

"Sekali lagi saya tegaskan di sini, UMNO tidak akan minta jawatan pengerusi atau mengetuai BN di Pulau Pinang kerana selama ini telah terjalin satu hubungan baik dan persefahaman antara parti komponen.

"Jika saudara Teng dipilih sekali lagi, UMNO akan terus beri sokongan kepadanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, hari ini.

Mengikut persefahaman antara parti komponen BN, parti yang mewakili kaum Cina akan memegang jawatan Pengerusi BN negeri. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment