Sunday, 6 October 2013

Haji: Hantar lebih ramai Orang Asli ke Mekah - Pendakwah

MAKKAH, SABTU, 05 Oktober, 2013:  "Saya mohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar hantarlah lebih ramai Orang Asli ke tanah suci kerana adalah agak mustahil bagi kami untuk datang sendiri".

Itulah harapan Muhamad Fardhu Angah, 23, yang menganggap dirinya sangat bertuah kerana terpilih antara 800 orang untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu di bawah tajaan 1MDB pada musim haji ini.

"Kita (Orang Asli) kebanyakannya kerja kampung, tanam ubi dan cari buah untuk menyara kehidupan, mustahil dapat datang ke Makkah jika kerajaan tidak bantu," katanya.

Katanya, untuk datang ke tanah suci dan menunaikan fardu haji adalah sesuatu mimpi bagi Orang Asli seperti dirinya namun kini mimpi itu menjadi kenyataan.

"Saya merasakan diri ini seolah-olah bermimpi kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di Masjidil Haram dan menatap secara dekat kebesaran Al Batil Atiq, yakni rumah Allah SWT," katanya.

Katanya, apabila mimpi ini menjadi kenyataan, beliau berharap lebih ramai Orang Asli yang memeluk Islam diberi peluang untuk datang menunaikan haji secara tajaan.

Katanya, di bawah kepimpinan Najib sekarang, Orang Asli seperti dirinya mendapat peluang melihat sendiri Kaabah yang menjadi arah atau kiblat umat Islam bersolat.

"Terima kasih kepada pihak 1MDB di atas tajaan untuk mengerjakan ibadah haji pada musim ini dan saya berharap pada setiap tahun terdapatlah Orang Asli terpilih untuk menunai fardu haji," katanya.

Muhammad Fardhu memeluk Islam pada Jun 2005 pada usia 15 tahun dan sejak itu, pemuda keturunan Temiar dari Pos Tuel, dekat Gua Musang, Kelantan itu terus mendalami Islam di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli Kok Lanas.

Beliau kini bertugas sebagai pendakwah bebas di kawasan kampung Orang Asli itu berkata jika Orang Asli dapat datang ke tanah suci, fikiran dan fahaman mereka terhadap Islam akan berkembang seperti umat Islam yang lain.

"Antara tugas saya ialah membawa pendakwah masuk ke beberapa kawasan pedalaman untuk memberi pendedahan mengenai Islam kepada anak muda (Orang Asli)," katanya.

Muhamad Fardhu atau nama asalnya Jefry Angah itu berkata, kini hampir kesemua 700 penduduk kampungnya di Pos Tuel telah memeluk Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment