Sunday, 6 October 2013

Malaysia negara pertama hantar air zam-zam sebelum jemaah pulang

MAKKA, SABTU,H0 5 Oktober, 2013: Malaysia merupakan negara pertama yang menghantar air zam-zam ke tanah air untuk jemaahnya sebelum mereka pulang ke tanah air selepas selesai mengerjakan ibadah haji.

Ketua Rombongan Haji Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua jemaah haji diberikan sebotol 10 liter air zam-zam percuma dan mereka akan mengambilnya sebaik tiba di lapangan terbang tempat mendarat masing-masing.

Katanya, menurut pihak pengurusan Projek Air Zam-Zam King Abdullah Abdulaziz di sini, kerajaan Arab Saudi memuji Malaysia kerana menjadi negara pertama berbuat demikian dan ia memudahkan pihak pengurusan mereka kerana dapat mengagihkan air zam-zam itu lebih awal.

"Kita menghantarnya lebih awal bagi memudahkan jemaah haji dan mereka tidak perlu membawanya untuk memasuki pesawat sebaliknya cuma menuntut air zam-zam masing-masing di lapangan terbang di tempat pendaratan masing-masing," katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang projek air zam-zam di Kuday dekat sini.

Sementara itu, Pengurus Projek Air Zam-Zam Raja Abdullah Abdulaziz, Saeed Misfer Alwadie berkata kilang itu mengeluarkan lebih 48 juta botol air Zam-Zam sejak dibina, memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi air suci itu.

Projek itu, dilaksanakan Kementerian Air dan Elektrik dan diselia syarikat National Water Company, merupakan antara projek terbesar bagi penyediaan dan pengagihan air Zam-Zam.

Projek bernilai SR700 juta itu dimulakan tiga tahun lepas atas perintah Raja King Abdullah menerusi pembiayaan baginda sendiri.

"Kami menggunakan teknik dan kaedah global terkini untuk menyalurkan air Zam-Zam dari telaganya, air disalurkan menggunakan pam dan paip keluli tahan karat. Ia melalui proses penapisan dan pembersihan tanpa menjejaskan keaslian dan rasanya," katanya.

Beliau berkata, kilang itu dilengkapi empat saluran pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran maksimum 200,000 botol sehari. Ia turut dilengkapi gudang yang boleh menempatkan 1.5 juta botol, selain sebuah lagi gudang sedang dibina yang boleh menempatkan 200,000 botol.

"Kira-kira 42 punca dibina bagi penyaluran air secara automatik, selain 16 punca bagi penyaluran secara manual untuk memenuhi permintaan pelawat dan jemaah pada waktu dan musim puncak," katanya.

Air suci Zam-Zam disalurkan dari telaga yang terletak berhampiran Kaabah yang telah wujud ribuan tahun lamanya dan air itu mula mengalir atas belas ehsan Allah swt ke atas Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment