Thursday, 3 October 2013

Kawalan sempadan diperhebat musim tengkujuh

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok menerusi Op Wawasan dan Merpati akan terus diperhebatkan meskipun pada musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaki Hamzah berkata, kawalan ketat tersebut bagi mengekang aktiviti lintas sempadan seperti penyeludupan khususnya senjata api yang mampu menggugat keselamatan negara.

Menurutnya, sepanjang musim tengkujuh itu anggotanya akan membuat rondaan setiap masa menggunakan bot bagi memastikan keadaan di sepanjang sempadan Sungai Golok sentiasa terkawal dari sebarang anasir luar.

"Kesemua pos yang dikawal oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap beroperasi seperti biasa walaupun berhadapan dengan musim tengkujuh. Kita sentiasa komited menjalankan tugas bagi memastikan sempadan negara sentiasa dikawal dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Hoki Antara Unit Dalam ATM di Padang Hoki Kijang Mas di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment