Thursday, 3 October 2013

2 penjenayah ditembak mati di Gerik ada kes di Kelantan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Dua daripada tiga penjenayah yang ditembak mati di Gerik, Perak semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman bagaimanapun berkata, kedua-dua penjenayah terbabit jarang pulang ke negeri ini kerana menyedari mereka diburu oleh pihak polis.

Beliau berkata, salah seorang daripada penjenayah tersebut dikatakan tinggal di Thailand manakala rakannya bekerja sebagai tukang paip di Pahang.

"Mereka hanya balik sekali sekala, kali terakhir balik ke sini pada hari raya lepas, salah seorang daripada dipercayai berada di Thailand.

"Kita mempunyai maklumat mengenai penjenyah-penjenayah yang dikehendaki di negeri ini, kita sedang mengekori mereka. Saya hendak tegaskan di sini, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh, saya percaya kita akan dapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Sukarelawan Simpanan Polis di Raja Malaysia (SSPDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Semalam, tiga penjenayah yang dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk bunuh, curi kenderaan dan samun bersenjata ditembak mati setelah berbalas tembakan dengan polis di Jalan Intan, Gerik. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment