Thursday, 3 October 2013

Kerajaan belanja lebih RM6 bilion laksana PPR

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Kerajaan membelanjakan lebih RM6 bilion untuk melaksanakan dan menjayakan Program Perumahan Rakyat (PPR) sejak 1998, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah kerajaan membina rumah PPR itu adalah khusus bagi golongan setinggan dan pemohon yang memohon menerusi sistem pendaftaran terbuka.

"Adalah tidak benar rumah di bawah Program Perumahan Rakyat lebih kepada orang yang mampu, dan disewakan," katanya ketika menjawab ucapan penangguhan oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PKR-Bukit Katil) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Shamsul ingin tahu pendekatan terbaik kerajaan dalam mengagihkan kuasa pasaran ke negeri-negeri bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan.

Abdul Rahman berkata, selain itu, dakwaan kerajaan hanya menumpu kepada pembangunan di kawasan tertentu sahaja adalah tidak berasas berikutan kerajaan dari semasa ke semasa akan melaksanakan projek pembangunan di seluruh negara bergantung kepada peruntukan yang diperoleh.

Abdul Rahman berkata, kerajaan sememangnya mengambil berat mengenai keperluan perumahan sebagai satu keperluan asas untuk semua golongan rakyat sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 25, peruntukan hak asasi manusia universal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kerajaan, katanya, telah mengambil tindakan untuk meningkatkan kemampuan pemilikan rumah melalui penyediaan lebih banyak rumah berkualiti dan mampu dimiliki di pasaran melalui program seperti PPR, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan dalam memperkukuhkan usaha menyediakan perumahan yang berkualiti serta menepati standard melalui penglibatan agensi kerajaan dan badan profesional yang berkaitan.

Buat masa ini, katanya, semua pembinaan rumah kos rendah tertakluk kepada standard seperti yang terkandung dalam Piawaian Industri Pembinaan (CIS) yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Kemudahan masyarakat yang meliputi kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan, dewan orang ramai, perpustakaan awam dan kebajikan perlu disediakan secukupnya dengan keluasan tertentu berpandukan piawaian tadahan penduduk sesebuah kawasan perumahan," katanya.

Abdul Rahman berkata seiring dengan perkembangan pembangunan negara, kepadatan penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Katanya, selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencapai paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi adalah Selangor (91.4 peratus) dan Pulau Pinang (90.8).

Sebaliknya, katanya, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah ialah Kelantan (42.4), Pahang (50.5) dan Perlis (51.4). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment