My Add

Saturday, 5 October 2013

KL-Beijing pererat kerjasama strategik komprehensif

PUTRAJAYA, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Kerjasama strategik yang komprehensif akan menjadi asas kepada hubungan dua hala Malaysia-China yang mana kedua-dua negara akan mengeratkan hubungan pertahanan serta berusaha mencapai sasaran perdagangan bernilai AS$160 bilion (RM510 bilion) pada 2017.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua negara turut bersetuju meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang menentang jenayah antarabangsa dan siber selain dalam bidang ketenteraan menerusi latihan bersama dan lawatan para pemimpin tentera masing-masing.

Dalam bidang pelaburan pula, Najib berkata, China telah menyatakan minat mendalam terhadap projek kereta api laju manakala Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan dan Qinzhou akan menjadi lambang kepada hubungan ekonomi yang baik antara kedua-dua negara.

"Kita turut berbincang tentang kerjasama lebih rapat dalam sektor kewangan dan mahu melihat lebih banyak perdagangan dijalankan dalam mata wang Renminbi dan Ringgit," katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden China, Xi Jinping di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin China di bawah pimpinan Jinping akan terus maju sebagai kuasa ekonomi utama sekali gus menyediakan momentum kepada pertumbuhan ekonomi global.

Najib berkata, beliau menghargai dasar Beijing yang memberi keutamaan kepada hubungan China-ASEAN dan Kuala Lumpur menyokong penuh cadangan penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia yang akan memanfaatkan pembangunan di Asia Tenggara.

Beliau berkata, hubungan rakyat dua negara yang baik boleh dilihat melalui pembukaan pejabat konsulat di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang di Malaysia serta Nanning di China selain pembukaan cawangan Universiti Xiamen di Malaysia iaitu kampus universiti China pertama di luar negara.

Sementara itu, Jinping mahu memperhebatkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, satelit penderiaan jauh dan teknologi angkasa selain memperluaskan program latihan dan pertukaran saintis muda kedua-dua negara.

"Kita bersetuju untuk mengekalkan hubungan erat antara pemimpin atasan dan adakan komunikasi serta penyelarasan dalam isu-isu besar untuk menjaga kepentingan bersama," katanya.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dengan China telah memberi kebaikan kepada kedua-dua negara serta mewujudkan suasana kondusif kepada kestabilan serantau.

"Malaysia merupakan sahabat China yang boleh dipercayai dan saling bergantung antara satu sama lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment