Malaysia, China meterai Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Malaysia dan China hari ini memeterai perjanjian Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017 yang bakal mengukuhkan lagi kerjasama bilateral dalam pelbagai sektor.
Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden China, Xi Jinping ketika kedua-dua pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di ibu negara hari ini.
Dalam perjanjian itu, Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala China oleh Menteri Perdagangannya, Gao Hucheng.
Selain itu, kedua-dua negara turut memeterai persetujuan menubuhkan Majlis Kerjasama bagi Taman Perindustrian China-Malaysia di Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan, Pahang.
Najib dalam ucapannya berkata, program itu akan menguatkan lagi hubungan kedua-dua negara sekali gus menjadi penanda langkah seterusnya dalam mengukuhkan kerjasama pada masa akan datang.
"Ia merupakan satu visi jelas terhadap matlamat yang sama dan mengukuhkan hubungan ekonomi dan bilateral serta kerjasama strategik," katanya.
Menurut beliau, program lima tahun akan turut memberi manfaat kepada pengusaha kecil dan sederhana tempatan.
"Kita juga mengalu-alukan kerjasama teknikal dengan syarikat-syarikat automotif China dan juga terbuka dalam kerjasama bidang-bidang baharu lain termasuk industri halal," katanya.
Perdana Menteri berkata, penubuhan kampus Universiti Xiamen Malaysia juga mengukuhkan hubungan kedua-dua negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment