Saturday, 5 October 2013

Pau, bihun basi dipercayai punca keracunan

 *PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon melawat salah seorang mangsa keracunan makanan di Hospital Tapah, Perak, semalam.
TAPAH, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah yang menjadi mangsa keracunan makanan mendakwa, sakit perut yang dialami mereka bukan sahaja berpunca hidangan ayam masak kurma tetapi pau kari dan bihun goreng yang telah basi.

Menurut mereka, simptom sakit perut dan muntah-muntah yang dialami itu telah bermula sejak Selasa lalu, namun semakin parah setelah memakan hidangan ayam masak kurma di dewan kantin sekolah berkenaan, kelmarin.

Seorang mangsa terlibat, Nur Eliana Najibah Rosli, 14, memberitahu, dia tidak menjamah hidangan ayam masak kurma itu setelah mendapati daging tersebut masih berwarna merah, dipercayai tidak dimasak dengan sempurna.

Pelajar tingkatan dua itu berkata, sakit perut yang dialami sebahagian pelajar sekolah itu berpunca selepas memakan pau kari dan bihun goreng yang didapati basi dan berbau.

''Semasa dihidangkan dengan dua makanan ini, saya hanya makan sedikit sahaja kerana rasa dan baunya sangat pelik, seperti sudah basi. Ini pertama kali saya makan makanan seperti ini di kantin sekolah.

''Saya percaya ini merupakan punca keracunan makanan kerana perut saya memulas-mulas sehingga berulangkali ke tandas selepas memakan kedua-dua makanan tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Tapah, di sini hari ini.

Semalam, seramai 280 pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah mengalami simptom keracunan makanan setelah disyaki memakan menu ayam masak kurma bagi hidangan makan malam di dewan makan sekolah berkenaan, kelmarin.

Ekoran insiden tersebut, sebanyak 271 kes merekodkan pelajar mengalami sakit perut serta cirit-birit, selain 101 daripadanya turut membabitkan rasa loya, pening kepala (66), muntah (9) dan demam (5).

Sementara itu, Muhammad Aswad Shurhan, 17, berkata, dia yang mula berasa pening dan sakit perut ketika sedang bersiap untuk ke sekolah, semalam tidak mengsyaki sesuatu yang buruk akan berlaku.

Katanya, sepanjang perjalanan ke sekolah, dia dan beberapa rakan terpaksa berulang-alik ke asrama untuk menggunakan tandas kerana di sekolah dipenuhi dengan pelajar lain yang turut mengalami simptom serupa.

''Semasa memakan ayam masak kurma itu, saya tidak makan daging yang masih merah tetapi hanya bahagian yang masak sahaja.

"Ketika itu, hidangan tersebut tidak berbau langsung," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment