Saturday, 5 October 2013

Geran penyelidikan universiti tidak dikurangkan

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tidak akan mengurangkan jumlah peruntukan bagi geran penyelidikan yang dimohon oleh universiti.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, perkara tersebut penting bukan sahaja bagi memastikan program penyelidikan itu dapat dilaksanakan, malah produk akhir yang dihasilkan adalah berkualiti.

''Adalah penting setiap peruntukan yang dimohon diberikan secukupnya kerana kita mahu produk akhir yang dihasilkan berkualiti dan setimpal dengan jumlah peruntukan diberi.

''Jika ada peruntukan yang dikurangkan sekalipun, ini adalah peringkat universiti lagi bukannya kementerian kerana kita tidak pernah mengurangkan jumlah bagi geran penyelidikan yang dimohon universiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian anugerah dan penutupan Pameran Inovasi dan Produk Komersial (Inatex) ke-15 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (Hema) UTM, Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz

Menurut Abu Bakar, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) telah memperuntukkan sebanyak RM660 juta bagi bidang penyelidikan termasuklah untuk kegunaan universiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 360 produk penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh universiti akan dikomersialkan sempena Tahun Pengkomersialan Produk Inovasi pada 2014.

Katanya, kesemua produk penyelidikan dan inovasi tersebut akan diketengah dan dipromosikan secara meluas termasuk di Pusat Pameran Inovasi Negara yang bakal ditubuhkan kelak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment