![]() |
*SITI Hasmah (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta dari Sudan selepas berucap dalam Seminar Peranan Wanita Dalam Menyemai Tradisi Keamanan Melalui Institusi Kekeluargaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. |
Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berkata, ini kerana panduan, ajaran keluarga serta peranan wanita sebagai ibu merupakan asas penting dalam menyemai keharmonian dan kestabilan secara menyeluruh.
Oleh itu, menurut beliau, golongan ibu khususnya tidak harus memandang ringan terhadap perkara tersebut dalam memastikan generasi muda tidak dipengaruhi anasir luar yang cuba meracuni pemikiran mereka dengan idealisme negatif.
"Selalunya ibu berperanan penting dalam keluarga kerana mereka menyediakan segala keperluan anak-anak, sama ada secara fizikal, mental serta emosi.
"Menjadi tanggungjawab mereka serta ahli keluarga untuk memupuk nilai keamanan dari peringkat awal menerusi pendidikan serta ajaran berguna yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Peranan Wanita Dalam Menyemai Tradisi Keamanan Melalui Institusi Kekeluargaan sempena program Pengurusan Kepelbagaian Dalam Negara Berbilang Kaum di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon; Ketua Pengarah Jabatan Polisi dan Perancangan Strategi, Kementerian Luar, Zainol Rahim Zainuddin; wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Kunihiko Sato dan Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) UM, Prof. Madya Dr. Khadijah Md. Khalid.
Program anjuran Inpuma UM yang berlangsung hampir dua minggu bermula pada 23 September lalu dan berakhir hari ini tersebut disertai oleh 18 pegawai awam daripada enam negara termasuk Iraq, Myanmar, Sudan dan Timor Leste.
Tujuan program adalah untuk meningkatkan pemahaman serta pengetahuan berkenaan isu keamanan, konstitusi dan pembangunan negara dalam konteks kepelbagaian budaya.
Siti Hasmah menambah, golongan muda juga perlu diberi pendedahan secara lebih mendalam tentang kesan peperangan yang terjadi akibat mementingkan diri sendiri serta kurangnya sikap toleransi antara sesama insan.
"Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunjukkan serta memberitahu anak-anak kesan buruk peperangan terhadap masyarakat serta negara dalam segenap aspek.
"Mereka harus tahu peperangan tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya perdamaian serta sikap menghormati antara individu merupakan langkah terbaik dalam mencapai kestabilan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment