Saturday, 5 October 2013

Tiga siswa UMK mati lemas

Oleh Siti Airunnisa Alaui

 *LOKASI kejadian tiga pelajar lemas UMK mati lemas di Lata Tembakah, Jertih, Besut, semalam. - UTUSAN/KAMARUDDIN HAMZAH
BESUT, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Kegembiraan 18 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Kelantan untuk menghabiskan cuti hujung minggu di Pusat Rekreasi Air Terjun Lata Tembakah, Jertih dekat sini, berakhir dengan tragedi selepas tiga daripada mereka mati lemas hari ini.

Mangsa yang terbunuh ialah B. Vikneswaran, 21, dari Sungai Petani, Kedah; Janarthen Umabaithy, 21, dari Taiping, Perak dan Mohana Raj Madhandra, 22, dari Negeri Sembilan.

Menurut rakan mangsa dikenali sebagai Kalai, 22, dia dan rakan-rakan yang kesemuanya seramai 18 orang tiba di pusat rekreasi tersebut pukul 12 tengah hari dengan menaiki empat buah kereta.

"Pada mulanya kami bercadang untuk mandi di tingkat dua air terjun namun ketiga-tiga mangsa beria-ia mengajak ke tingkat tujuh yang mengambil masa kira-kira sejam pendakian.

"Setelah sampai, kami terus mandi namun tiba-tiba tiga rakan saya (mangsa) itu termasuk ke kawasan dalam dan lemas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Kalai, dia dan rakan-rakan lain yang panik berusaha membantu tetapi gagal disebabkan air terlalu dalam dan mereka hanya mampu melihat ketiga-tiganya terkapai-kapai sebelum tenggelam.

"Kami berlari turun ke kawasan tapak perkelahan di tingkat bawah untuk meminta bantuan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, mayat dua daripada mereka iaitu Vikneswaran dan Janarthen dijumpai pada pukul 2.20 petang manakala Mohana Raj ditemui pada pukul 4.27 petang di lokasi yang sama.

"Mayat Vikneswaran dan Janarthen dijumpai terapung berhampiran lokasi kejadian kira-kira 10 meter daripada tempat mereka lemas manakala mayat Mohana Raj ditemui di dasar air terjun sedalam kira-kira enam meter kira-kira pukul 4.30 petang oleh Unit Skuba Bomba dan Penyelamat.

"Mayat kesemua mangsa yang merupakan penuntut jurusan Teknologi Bio Industri itu dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment