Friday, 4 October 2013

Tangani keselamatan atlet basikal

KUALA LUMPUR, KHAMIS,  03 Oktober, 2013: Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mendesak Kementerian Belia dan Sukan menangani isu keselamatan atlet lumba basikal ekoran insiden seorang lagi terbunuh dirempuh van pengiring di Terengganu semalam.

Malah, dalam masa yang singkat ketika sesi soal jawab pertama sidang Dewan Rakyat pagi ini, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mahu kementerian itu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan mengekang kejadian sama berulang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) turut meminta kementerian berkenaan supaya tidak hanya memikirkan soal meningkatkan 'populariti' sukan tetapi seharusnya menumpukan kepada pembangunan belia.

''Kita sudah ada bintang-bintang yang hampir menyinar tetapi tiba-tiba terbunuh di jalan raya. Tidak adakah satu SOP atau garis panduan supaya perkara ini tidak berlaku lagi. Ini sudah dua kali (atlet lumba basikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya)," katanya.

Semalam, atlet lumba basikal Terengganu, Mohamad Asmu'i Ali, 20, maut akibat cedera parah digilis van pengiring setelah terjatuh di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai, Dungun.

Kejadian tersebut merupakan insiden kedua yang meragut nyawa pelumba di Terengganu tahun ini.

Pada 5 Jun lalu, seorang atlet pelapis lumba basikal bawah 15 tahun maut digilis treler di jambatan Kampung Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu.

Berkongsi rasa sedih terhadap kejadian yang menimpa atlet berkenaan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) meminta kerajaan menyediakan trek khas bagi membolehkan atlet lumba basikal menjalani latihan dengan selamat.

Menjawab soalan-soalan tersebut, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menegaskan, pihak kementerian sentiasa mementingkan ciri-ciri keselamatan dan perkara itu memerlukan sokongan serta kerjasama atlet.

''Walaupun kementerian dan agensi-agensi lain sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan di semua jenis sukan, kita memerlukan bantuan serta kerjasama atlet sendiri.

''Saya ucapkan takziah kepada keluarga atlet yang meninggal dunia semalam," ujarnya.

Berhubung saranan Abdul Ghapur, jelasnya, pihak kementerian akan melihat perkara itu secara serius. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment