Friday, 4 October 2013

UEC tidak diterima - TPM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) masih belum diterima sebagai kelayakan masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata, ini kerana sistem pengajaran dan pembelajaran MICSS tidak mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

"Walau bagaimanapun, kementerian telah membuka ruang kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memiliki UEC dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Kementerian Pendidikan juga tidak bercadang mengadakan peperiksaan lain untuk kemasukan pelajar ke universiti dan masih meneruskan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) sama ada kementerian bercadang untuk mengadakan peperiksaan kemasukan universiti yang sama bagi semua pelajar menggantikan STPM, matrikulasi dan yang lain serta pengiktirafan peperiksaan UEC sebagai syarat.

Tambah Muhyiddin, peperiksaan STPM ditawarkan bukan sahaja kepada calon sekolah malah kepada calon persendirian kerana dalam pendemokrasian pendidikan, kelayakan memasuki institusi pengajian tinggi tidak seharusnya berasaskan satu peperiksaan sahaja - UTUSANA. 

No comments:

Post a Comment