Saturday, 5 October 2013

Zaidah terima anugerah khas Matahari

 *ZAIDAH (tengah) menunjukkan anugerah yang diterimanya kepada Dr. Daing Nasir Ibrahim (kanan) sambil diperhatikan Siti Hawa (kiri) dan suami, Apandi A. Hadi pada Jamuan Makan Malam Majlis Konvokesyen UMP Ke-8 di Kuantan, semalam.
KUANTAN, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Kegigihan seorang ibu yang setia menemani anak orang kurang upaya (OKU) selama enam tahun di universiti demi memperoleh segulung ijazah mendapat pengiktirafan Universiti Malaysia Pahang (UMP) apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Persatuan Wanita universiti itu (Matahari).

Zaidah Tamjis, 50, dari Taman Mahkota Aman di sini sanggup meninggalkan suaminya, Apandi A. Hadi dan anak-anak yang lain di rumah bagi menguruskan pengajian anak ketiganya, Siti Hawa Apandi, 24, yang mengalami Spinal Muscular Atrophy Type 11 sehingga menyebabkan hilang keupayaan untuk berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Canselor UMP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut yang julung kali diadakan sempena Jamuan Makan Malam Majlis Konvokesyen UMP Ke-8 di sini.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim, kecekalan Zaidah mencetuskan inspirasi kepada Matahari dalam menghargai pengorbanan ibu yang membesar, mendidik dan memberi sokongan kepada anaknya dalam menuntut ilmu.

"Justeru, amat wajar Matahari yang disertai wanita dan isteri kakitangan UMP memberikan penghargaan ini bagi mengenang jasa serta semangat seorang ibu yang sentiasa mendorong anaknya meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Zaidah merupakan insan luar biasa serta tanpa jemu menemani anaknya sama ada di asrama mahupun di dewan kuliah sepanjang pengajian diploma dan ijazah sarjana muda sehingga dia menjadi sebahagian daripada warga UMP," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, menurut Zaidah, dia tidak menyangka akan diberi penghargaan tersebut kerana semua dilakukan hanya untuk melihat anaknya berjaya.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih terhadap penghargaan ini. Sepanjang menemani Siti Hawa, pelbagai pengalaman dilalui termasuk saya sendiri semakin celik dalam dunia teknologi maklumat (IT).

"Saya juga berterima kasih kepada UMP kerana memberi pelbagai kemudahan kepada Siti Hawa dan membenarkan saya tinggal sekali di asrama untuk menguruskannya," katanya.

Pengorbanan ibu kepada lima anak itu amat berbaloi apabila Siti Hawa yang mengikuti pengajian dalam Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) sentiasa cemerlang dalam pelajaran dengan mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 dan anugerah dekan pada setiap semester.

Sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-8 yang akan berlangsung esok, Siti Hawa turut menerima anugerah Hadiah Kecemerlangan Heitech (Hadiah Industri) berikutan kecemerlangannya di dalam akademik dan penyertaannya dalam pertandingan penyelidikan - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment