My Add

Thursday, 19 December 2013

Bisikan halus' punca lelaki serang polis, tetak pesara

Oleh ROSALINDA MD.SAID

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Disember, 2013: Seorang penghantar surat yang menghadapi tuduhan menyerang anggota polis dan menetak leher seorang pesara mendakwa dia bertindak demikian setelah mendengar bisikan halus yang menyuruhnya 'berkebun'.

Rizlan Johan, 34, di Mahkamah Majistret di sini hari ini turut mendakwa mendengar suara tersebut sebanyak dua atau tiga kali dalam tempoh beberapa tahun sejak kebelakangan ini.

Lelaki itu menyatakan demikian melalui sahabat mahkamah (amicus curie) selepas mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Rizlan didakwa menyerang Koperal Mohd. Faizal Dollah, 42, dengan sebilah parang di hadapan Restoran Muhibah, Jalan Bangsar di sini pada pukul 10.39 pagi, 4 Disember lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zhamaliah Mohamad Ismail mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan menetak leher sebelah kiri seorang pesara yang cacat penglihatan, Ahmad Yaakob, 59, sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada pukul 10.30 pagi di restoran dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda dan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Berikutan dakwaan tertuduh, Majistret Nur Azura Murah memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Hulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan psikiatri selama sebulan sebelum beliau menjatuhkan hukuman.

Beliau menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan tertuduh.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memukul muka Ahmad serta pada masa sama mengeluarkan sebilah parang dan meletakkan senjata itu di tengkuk mangsa.

Tertuduh terus menyerang dan menetak bahagian leher mangsa dan akibat kejadian itu Ahmad telah mengalami kecederaan.

Rizlan juga enggan menyerah diri biarpun dengan kehadiran polis apabila bertindak menghayunkan parang ke arah Mohd. Faizal sehingga menyebabkan anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan ke kaki kanan tertuduh. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment