Felcra agih RM120.8 juta dividen interim
KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Disember, 2013: Felcra Bhd. hari ini mengagihkan RM120.8 juta dividen interim kedua tahun ini kepada lebih 73,000 peserta, bersesuaian dengan pembukaan sesi persekolahan tahun 2014.
Pengerusinya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, sehingga Oktober 2013, sebanyak 1,092 projek (ladang) milik peserta berkeluasan 104,616 hektar telah menjana keuntungan bersih semasa sebanyak RM172.59 juta.
"Daripada jumlah tersebut, 70 peratus diambil untuk diagihkan sebagai dividen interim kedua, manakala selebihnya dijadikan rizab untuk membiayai belanja kos operasi ladang," katanya kepada media selepas majlis pengumuman Dividen Interim 2/2013 Peserta Felcra, di sini hari ini.
Beliau menambah, dividen dikeluarkan dalam tiga fasa, dengan sebanyak RM80 juta diagihkan menerusi interim pertama, RM120 juta bayaran kedua dan dijangkakan sebanyak RM300 juta akan diagihkan dalam fasa terakhir.
Menurut Bung, agihan dividen tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas disebabkan penurunan hasil ekoran penurunan harga pasaran komoditi seperti getah dan kelapa sawit.
"Harga getah menurun 23 peratus manakala harga kelapa sawit pula susut 20 peratus walaupun jumlah pengeluaran Felcra meningkat yang masih memberi kesan kepada pendapatan," katanya.
Dividen dihasilkan daripada sumber perladangan kelapa sawit, getah dan padi.
Pada 2012, Felcra mengagihkan RM250 juta dividen pertama dan RM150 juta bayaran kedua.
Bung Mokhtar berkata, Felcra akan terus mempertingkat saingan pada tahun ke hadapan menerusi pelbagai perancangan dan strategi.
"Bagi sektor perladangan, Felcra merancang menjalankan projek tanam semula untuk 50,000 hektar ladangnya di Malaysia selain membuka 50,000 hektar tanah di luar negara," katanya.
Beliau menjelaskan, peluasan perniagaan ini merupakan sebahagian perancangannya untuk memperkukuh aset Felcra bagi tujuan penyenaraian syarikat ke Bursa Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment