Sunday, 22 December 2013

Zulkifli cipta 'Baju Terbang'

Oleh HUSSAINI AMRAN
 
 * ZULKIFLI Haron memeriksa 'Baju Terbang' rekaannya yang dikendalikan Mohd. Muiz pada sesi demonstrasi di bengkel Zull Design Autotronic (ZDA) di Sungai Choh, Rawang, Selangor. - MINGGUAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Diem ber, 2013: Zull Design Autotronic (ZDA) yang terkenal dengan pelbagai ciptaan inovasi, kini tampil dengan rekaan terbaharu berteknologi tinggi iaitu jet pack yang setakat ini hanya dihasilkan oleh firma di Amerika Syarikat (AS).

Peralatan berteknologi tinggi yang ketiga direka di dunia itu tidak kurang hebatnya berbanding dengan jet pack yang dibuat oleh dua firma AS iaitu Jet Pack International (Jet P.I.) dan Martin Jet Pack.

Peralatan yang direka sejak dua tahun lalu oleh pengasas ZDA, Zulkifli Haron dan dinamakan sebagai 'Baju Terbang' itu masih di peringkat ujian dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2014.

Memang sukar untuk dipercayai 'Baju Terbang' benar-benar boleh terbang jika kita tidak melihatnya sendiri.

Namun, keupayaan alat berkenaan telah dibuktikan dalam sesi demonstrasi yang diaturkan oleh Zulkifli secara eksklusif untuk Mingguan Malaysia di kawasan lapang berhampiran bengkel ZDA di Sungai Choh di sini baru-baru ini.

Tiga percubaan pertama tidak menampakkan hasil tetapi pada percubaan keempat dan kelima, 'Baju Terbang' berjaya membawa pengendalinya yang juga anak keenam Zulkifli, Mohd. Muiz, 16, melonjak ke udara pada ketinggian kira-kira tiga meter serta kekal terapung lebih seminit.

Menurut Zulkifli, 'Baju Terbang' boleh mengapungkan pengendalinya sehingga enam meter selama tiga minit sekiranya peralatan itu berfungsi sepenuhnya.

"Kali ini, salah satu daripada empat enjin jet gagal berfungsi menyebabkan kita hanya boleh menggunakan dua enjin sahaja sekali gus mengurangkan kuasa tujahan," katanya.

Jelas beliau, berat maksimum beban yang boleh diangkat oleh 'Baju Terbang' adalah 80 kilogram manakala berat peralatan yang dibuat menggunakan aluminium dan pinewood itu adalah 22 kilogram.

"Secara purata, kita perlu membelanjakan hampir RM2,000 untuk mengangkat setiap kilogram 'Baju Terbang'. Jadi, kita mesti mencari jalan untuk mengurangkan berat peralatan ini agar kos yang digunakan tidak terlalu tinggi," ujarnya.

Daripada aspek penggunaan bahan api, Zulkifli memberitahu, minyak yang digunakan adalah jenis kerosin A1 berharga RM85 seliter serta dicampur dengan minyak turbin berkualiti tinggi.

Menurut beliau, hampir tiga liter bahan api digunakan bagi setiap sesi ujian yang memakan masa antara dua hingga tiga minit.

"Semasa pembakaran, setiap enjin jet mengeluarkan kepanasan pada suhu mencecah 700 darjah Celsius dengan kuasa tujahan 140 putaran seminit (rpm) ketika melahu (idling) dan 200,000 rpm ketika tujahan maksimum.

"Kekuatan bunyi pula boleh menjangkaui 100 desibel (db). Selain enjin jet, komponen-komponen penting 'Baju Terbang' terdiri daripada tangki minyak, pemproses, bateri untuk sistem pencucuhan dan peralatan ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

"Kita juga sedang melakukan penambahbaikan terhadap proses kawalan. Buat masa ini, pengendali 'Baju Terbang' hanya boleh mengawal pergerakan ke kiri, kanan, depan dan belakang manakala pergerakan ke atas dan ke bawah dilakukan dengan menggunakan alat kawalan jauh yang diubah suai," jelasnya.

Zulkifli menambah, proses pendaratan 'Baju Terbang' sedang diperbaiki dan pada masa ini, langkah-langkah keselamatan diambil bagi memastikan pengendali peralatan itu tidak jatuh secara mendadak.

"Kita telah melakukan percubaan lebih 30 kali. Boleh dikatakan rekaan ini memang sudah berjaya, cuma kita perlu melakukan penalaan yang lebih 'halus'," katanya.

Bukan semua percubaan itu membuahkan hasil kerana seperti dijelaskan beliau, pelbagai insiden telah dialami termasuk kebakaran, terbalik, terjatuh malah rekaan tersebut pernah terbang sendiri sehingga mencetuskan suasana panik.

Bagi seorang pereka berjiwa cekal dan gigih seperti Zulkifli, kesemua insiden itu dianggap sebagai asam garam dalam kerjayanya dan tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk mengusahakan projek tersebut sehingga berjaya.

"Saya ingin membuktikan kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia juga berkebolehan dalam mencipta peralatan seperti 'Baju Terbang' di samping memberi semangat kepada generasi muda kita agar mereka lebih berani melakukan inovasi.

"Besar harapan saya untuk melihat rekaan 'Baju Terbang' ini menjadi pemangkin kepada usaha menyuburkan minat rakyat Malaysia dalam bidang sains angkasa dan aeroangkasa sehingga membawa kepada penghasilan jet serta roket buatan anak tempatan.

"Harapan ini tidak mustahil kerana rakyat Malaysia juga memiliki kepakaran dalam bidang itu cuma kita memerlukan masa untuk menggilapnya," jelasnya.

Beliau berpandangan, 'Baju Terbang' boleh dipertontonkan kepada orang ramai sebagai tarikan atau gimik pada majlis-majlis keramaian anjuran kerajaan atau swasta.

Tentang kos penyelidikan dan pembangunan (R & D) peralatan itu, Zulkifli menjelaskan nilainya adalah jauh lebih rendah daripada jet pack keluaran AS yang dianggarkan melebihi RM10 juta.

"Sebahagian besar kos dibiayai oleh ZDA manakala bakinya menerusi geran yang disalurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Saya amat menghargai sokongan kerajaan dalam projek ini dan juga kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang sentiasa memberi ruang untuk mengetengahkan rekaan ZDA kepada orang ramai," katanya. - UTUSAN


27










Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131222/dn_14/Zulkifli-cipta-Baju-Terbang#ixzz2oCBnHwIW
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment