My Add

Monday, 2 December 2013

Minat mendalam dorong Norshamila peluk Islam

KOTA BHARU, AHAD, 01 Disember, 2013: Minat yang mendalam terhadap Islam sejak kecil mendorong penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2013, Norshamila Koid Abdullah, 31, memeluk agama suci itu ketika berumur 17 tahun walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuk tentangan daripada keluarga.

Namun, dengan kesabaran dan kekuatan yang dimiliki wanita kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu, segala dugaan yang datang berjaya dihadapinya dengan tenang dan hari ini, keluarganya sudah boleh menerimanya walaupun mereka berlainan agama.

Norshamila yang bertugas sebagai guru agama dakwah di Ipoh, Perak memeluk Islam pada 27 Oktober 1999 di Pejabat Agama Islam, Kuala Kangsar.

Berkongsi cerita sebagai saudara baharu, Norshamila berkata, ketika memeluk Islam, dia merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.

Namun, katanya, selepas tamat belajar di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) Pengkalan Chepa di sini sekitar 2000, dia mendapat kekuatan untuk memberitahu keluarga.

Katanya, selepas keluarga mendapat tahu, mereka sangat marah dan mengambil tindakan membawanya pulang ke Pulau Pinang.

"Mereka (keluarga) menasihati saya dan mempersoalkan mengapa memeluk agama Islam. Namun, saya tetap yakin dengan pilihan itu dan keputusan menganuti agama suci Islam ini.

"Pada masa itu, saya sudah tidak kisah, keluarga pun tidak mempedulikan saya. Apa saya lakukan hanya menunjukkan akhlak yang baik. Saya anak tunggal perempuan daripada empat adik-beradik dan mempunyai dua abang dan seorang adik lelaki.

"Sebelum ini pun, keluarga tidak menghiraukan anak perempuan dan hanya menumpukan kasih kepada anak lelaki, selepas masuk Islam, saya lagilah dipinggirkan. Namun, masa berlalu, berkat kesabaran, Alhamdulillah kini keluarga sudah dapat menerima saya," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2013 sempena Konvensyen Saudara Muslim di sini hari ini.

Selain Norshamila, seorang lagi saudara Islam, Adam Khong Abdullah yang kini bertugas sebagai Pembantu Farmasi Hospital Melaka turut menerima anugerah sama.

Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin.

Menceritakan bagaimana pintu hatinya terbuka memeluk agama Islam, Norshamila berkata, dia meminati agama suci itu sejak kecil ekoran banyak berkawan dengan rakan yang beragama Islam.

"Sejak kecil saya suka tengok drama Melayu, di dalam drama itu saya selalu melihat orang berdoa dan mula terfikir mengapa mereka suka berdoa. Ekoran daripada itu, saya selalu berdoa. Saya ingat lagi ketika memecahkan pasu bunga ibu, tengah malam saya bangun berdoa agar ibu tidak marah keesokan harinya.

"Selain itu, semasa sekolah rendah, saya mempunyai ramai kawan yang beragama Islam dan mula belajar tulisan jawi. Semasa di sekolah menengah saya belajar tentang Islam dengan lebih mendalam," katanya.

Sementara itu katanya, sejak memeluk Islam, dia juga berjaya membawa hampir 10 ahli keluarga terdekat dan rakan-rakannya memeluk agama itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment