Wednesday, 25 December 2013

Pengawal larikan RM470,000

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Disember, 2013: Polis percaya pengawal keselamatan yang sedang diburu kerana melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM470,000 dari van dipandunya di Wisma Consplant, Subang Jaya baru-baru ini, masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya juga percaya suspek tidak dilindungi oleh mana-mana kumpulan kerana hasil siasatan mendapati dia melakukan jenayah tersebut secara bersendirian.

"Jenayah ini memang telah dirancang kerana suspek telah mengetahui selok-belok penghantaran wang tersebut namun ia tidak melibatkan mana-mana kumpulan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 16 Disember lalu, seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM470,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika rakan-rakan suspek, Mohd. Fahamy Mohammad Ramly, 30, sedang melakukan tugas mereka, sebelum dia bertindak melarikan van bersama wang tersebut.

Van itu kemudian ditemui semula setelah ditinggalkan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati suspek telah tertinggal dompet yang mengandungi kad pengenalan serta lesen memandu di dalam kenderaan itu.

Yahaya berkata, sehubungan itu polis mengedarkan gambar Mohd. Fahamy yang beralamat terakhir di Persiaran Indah Rokam, Medan Gopeng 1, Perak bagi mendapatkan maklumat daripada orang ramai.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment