Saturday, 4 January 2014

Belanja pengguna meningkat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Januari, 2013: Perbelanjaan pengguna akan terus berkembang tahun ini berikutan kadar tabungan yang tinggi, pengangguran yang rendah dan ketibaan pelancong yang lebih ramai sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, meskipun pada kadar yang lebih sederhana.

RHB Research berkata, perbelanjaan pengguna dianggarkan berkembang enam peratus tahun ini selepas unjuran peningkatan secara relatifnya kukuh pada 7.2 peratus bagi 2013.

"Kami menjangkakan perbelanjaan pengguna lebih berhemat, dengan pengguna berbelanja mengikut kemampuan berikutan kadar hutang isi rumah yang tinggi dan peningkatan 14.9 peratus tarif elektrik mulai 1 Jan," kata firma penyelidikan itu.

Jualan runcit dijangkakan berdaya tahan pada suku pertama berikutan musim membeli-belah sempena Tahun Baru Cina, kata RHB Research, menambah mengekalkan saranan 'neutral' ke atas kaunter bermodal besar termasuk AEON dan Amway.

Berikutan permintaan untuk keperluan asas kebiasaannya stabil dan tidak berubah, prestasi syarikat makanan dan minuman akan bergantung kepada harga komoditi dan kos pengeluaran, katanya dalam nota kajiannya hari ini.

RHB Research menjangkakan jumlah jualan bir terus suram walaupun sektor itu tidak terlibat dalam kenaikan duti eksais dalam Bajet 2014.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan satu peratus tahun ke tahun bagi industri bir tempatan dalam tahun kewangan 2014," katanya.

Bagi industri tembakau pula, RHB Research menjangkakan pertumbuhan susut dengan ketara berikutan peningkatan harga sebanyak 60 sen sepeket yang diumumkan pada September 2013.

"Oleh itu, kami mengunjurkan industri itu akan menguncup 10 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2014," katanya.

RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas industri pengguna dengan pilihan utama ke atas QL Resources Bhd. dan NTPM Holdings Bhd. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment